Rabu, 5 Oktober 2011

BEKERJA BUKAN HALANGAN MENYUSU


TAJUK : 6 BULAN PERTAMA: Berikan Susu Ibu Sahaja
Kembali Bekerja Bukan Halangan, Penyusuan Susu Ibu Harus Diteruskan.

1. Susuilah bayi Puan dari lahir sehingga berusia 6 bulan untuk mendapatkan faedah penyusuan susu ibu yang sepenuhnya. Kebanyakan ibu perlu kembali bekerja apabila bayi mencapai usia 2 bulan. Berikut adalah beberapa panduan yang boleh Puan amalkan untuk meneruskan penyusuan susu ibu dengan berjaya.

• Sekiranya majikan di tempat bekerja ada menyediakan pusat asuhan /
jagaan bayi, bawalah bersama bayi Puan ke tempat kerja dan
meneruskan penyusuan seperti biasa.

• Sekiranya tiada tempat jagaan disediakan, Puan perlu melakukan pemerahan bagi memastikan susu ibu sentiasa dihasilkan agar dapat memenuhi keperluan bayi.

2. Puan adalah dinasihatkan supaya memulakan latihan memerah dan memberikan bayi susu perahan dalam tempoh 2 minggu sebelum mula bekerja. Puan boleh memilih untuk melakukan pemerahan dengan tangan atau menggunakan pam susu ibu yang terdapat di pasaran.

3. Dalam tempoh 2 minggu sebelum bekerja, Puan bolehlah berlatih memberi bayi dengan susu perahan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu:-

• Pada hari 1-3, susu perahan bolehlah diberi 1 kali pada waktu pagi
• Pada hari 4-6, susu perahan ditambah kepada 2 kali sehari
• Pada hari 7-12, susu perahan ditambah kepada 3 kali sehari
• Pada hari 13-14, berikan susu perahan sepenuhnya untuk membiasakan bayi minum susu perahan.

4. Setelah kembali bekerja, pastikan Puan melakukan pemerahan setiap 3 jam. Susu perahan perlu disimpan dalam kuantiti yang mencukupi untuk satu kali penyusuan dalam satu bekas bertutup yang berlainan; dilabel dengan tarikh dan masa pemerahan.

5. Puan perlulah menyimpan susu perahan tersebut di dalam peti sejuk di tempat kerja atau di dalam beg penyejuk khas sebelum dibawa pulang ke rumah.


6. Di rumah, susu perahan perlu disimpan di dalam peti sejuk atau pembeku. Tempoh penyimpanan susu perahan mengikut tempat simpanan ialah:-

Tempat Tempoh Penyimpanan
Suhu bilik 4 - 8 jam
Peti sejuk 48 - 72 jam
Pembeku (2 pintu) 3 bulan
Pembeku (-20 oC) 1 tahun


7. Puan adalah diingatkan supaya tidak mencampurkan susu yang baru diperah dengan susu perahan yang lama. Ini akan menjamin susu perahan sentiasa selamat diberikan kepada bayi. Gunakan dahulu susu perahan dengan tarikh perahan yang terawal.

8. Apabila Puan atau penjaga ingin memberikan susu perahan kepada bayi, Puan perlulah mencairkan susu perahan tersebut dengan meletakkannya di bahagian bawah peti sejuk semalaman. Kemudian rendam bekas susu ke dalam air suam.

9. Puan perlu melatih penjaga untuk memberikan susu perahan menggunakan sudu atau cawan kecil kepada bayi. Elak menggunakan botol susu yang akan menyebabkan bayi ’keliru puting’ dan seterusnya penyusuan badan akan terhenti kerana bayi tidak mahu menyusu.

10. Puan juga perlu maklum bahawa susu perahan tidak boleh dicairkan terus dari api dan tidak boleh dicairkan menggunakan ketuhar gelombang mikro yang boleh memusnah dan menghilangkan zat-zat yang terdapat di dalam susu ibu.

11. Selain itu, susu perlu dicairkan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja kerana susu yang telah dicairkan mesti digunakan dalam masa 24 jam dan ianya tidak boleh dibekukan semula.

12. Bagi mengekalkan bekalan susu, Puan amat digalakkan menyusui bayi atau memerah susu sekurang-kurangnya setiap 3 jam. Maka, teruskanlah menyusu bayi Puan selepas bekerja, di waktu malam dan pada hari cuti serta bila berada di tempat kerja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan